Islam, Agama Fitrah

"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,"
QS.Ar-Rum (30) : 30

"Then set your face upright for religion in the right state.the nature made by Allah in which He has made men; there is no altering of Allah's creation; that is the right religion, but most people do not know"
QS.Ar-Rum (30) : 30

Kalam Allah


Sunnah Rasul


Teladan HIJRAH ~ Saidatina Asma' dan 'Aisyah RA  

Posted by: Ummi Ida in


Salam Maal Hijrah buat semua pengunjung dan pembaca yang setia!
(Istimewa buat anak-anakku Asma' dan 'Aisyah)

Di pagi Jummat di hari pertama 1431H, saya mendengar sebuah kisah seprti yang ditriwayatkan oleh Hadith ini:

Dari Aisyah r.a katanya: Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi Nabi saw. pada hari-hari itu, namun amat perlu sekali bagi baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika baginda datang ke rumah kami waktu Zohor, lalu kedatangan baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar. Berkata Abu Bakar,:
”Nabi saw. tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting.” Ketika Nabi saw. masuk ke tempat Abu Bakar, baginda bersabda kepadanya.
“Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar.” Berkata Abu Bakar:”Ya Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, ‘Aisyah dan ‘Asma’.
Sabda Nabi saw. Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)?” Berkata Abu Bakar,:”Anda perlu teman, ya Rasulullah!”
Sabda Baginda,:”Ya, kawan.” Berkata Abu Bakar,:”Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua ekor unta yang sengaja kusediakan untuk keluar (hijrah), ambillah seekor untuk anda.” Sabda Nabi,”Kuambil seekor dengan harganya.”(Riwayat Bukhari)

Menarik kisah ni.. lihatlah jawapan Abu Bakr AsSiddiq. Kedua anak perempuannya mendapat kesitimewaan dan kepercayaan unuk menjaga satu RAHSIA besar yang bakal berlaku.
Dr. Mustafa As-Siba`ei telah berkata bahawa Hijrah adalah antara peristiwa besar yang telah merobah perjalanan hidup manusia dan tamadun kehidupan. Jika idea Hijrah tidak tercetus, berkemungkinan cahaya Islam tidak dapat menerangi dunia hingga ke hari ini.

Dan apa yang menariknya di sini ialah kejayaan Hijrah adalah hasil bantuan, sokongan dan
pengorbanan dari dua anak muda puteri! Dua bersaudara, Asma' dan Aisyah bt Abu Bakr.
Diberi julukan sebagai 'dzatun nithaqain' oleh Rasulullah yang membawa erti "wanita yang mempunyai dua tali pinggang", sebagai peringatan terhadap peristiwa Hijrah yang menyaksikan pengorbanan dan keberanian Asma' yang tiada tolok bandingannya. Beliau dan adiknya 'Aisyah bersusah payah menyediakan bekalan makanan dan minuman buat Rasulullah dan Abu Bakar Radhiallahu anhu di saat genting seperti itu. Asma" mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua untuk dijadikan tali pengikat untuk mengikat bekalan makanan dan minuman tersebut, sehingga kerana peristiwa itu Rasulullah mendoakan beliau agar digantikan tali pinggang tersebut dengan yang lebih baik dan lebih indah di syurga kelak.

Pengajaran dari Hijrah Rasul mesti diaplikasikan dengan sebaik mungkin. Jika remaja dan anak-anak muda di zaman dahulu telah membuktikan kemampuan mereka dalam menjayakan misi-misi gergasi, sudah tentu golongan dari kelompok ini sekarang juga memiliki kemampuan untuk mencipta pembaharuan dan menjayakan agenda islah umat.

Ayuh semua "anak-anakku" yang pernah ku temui di luar sana, yang bernama Asma', yang bernama Aisyah, jejaki dan contohilah mereka yang telah berjasa ini..
Berkongsi nama yang sama, binalah semangat juang yang untuk membela agama, teruskan perjuangan mereka!

JALAN HIDUP  

Posted by: Ummi Ida in

Salam buat semua!
Apa khabar?

Dah hujung tahun dah.. Cepat nya masa berlalu..

Ingatkan dah cuti sekolah, bolehlah cuti-cuti Malaysia.. tapi aduhai.. jadual nampaknya penuh juga. Rupa-rupanya hanya sempat ke jalan-jalan ke Bandar Mentakab dan Temerloh, Pahang. Itupun sebab temankan anakanda Atikah untuk buka besi-besi yang dah empat tahun melekat kat gigi-giginya ( maksudnya bukak 'braces' ) .
Yeay.. gigi bebas tanpa braces.. jerit Tikah..Alhamdulillah.



Gambar bersarapan kat warong tepi jalan di Mentakab. Jam 8 pagi. Menu: Nasi Lemak, Mihun sedap.
Seronok pengalaman ni.. sebab walaupun keberadaan kami di Bandar Mentakab bukan dirancang untuk percutian, tapi tetap best sebab kami berlima sekeluarga dapat luang masa bersama. Erm.. Teringat jugak kat Kakak Asma' yang jauh. Juga Zubair yang tak dapat join sebab menemani dan menjaga Atok dan Wan nya di Sg Koyan. Kalau mereka ada, tentu lagi seronok..Thank you Zubair! Semoga Allah ganjari syurga.


Minggu pertama Disember, PERISTIWA PENTING.
Saya menunaikan tanggungjawab berorganisasi. Menyertai Persidangan Nasional bagi Organisasi dakwah yang telah didokongi sekian lama. Kali ini di Kuala Kangsar, Perak.
Semasa perarakan masuk.. Persidangan bakal bermula.


Gambar bersama sahabat-sahabat sepasukan dalam Jawantankuasa Wanita JIM Pusat.
Alhamdulillah, Allah bagi peluang berbakti untuk jamaah dan dakwah. Jawatan adalah amanah...
Jalan mengabdi kepadaNYA.. tanpa menagih upah..
Semoga kita semua terus istiqamah dalam perjuangan.

"Robbana hablana min azwajina wazurriyyatina qurrataa’yun wajaalna lil muttaqina imama"

Laa ilaha illa anta.

KBM UNISEL  

Posted by: Ummi Ida in

Alhamdulillah sekali lagi berpeluang bersama anak2 bangsa, generasi ummah penerus wawasan dalam program KBM.
Kali ni kami memakmurkan Masjid Ubudiah Seksyen 19 Shah Alam.
Tarikh : 21 & 22 Nov 2009
Peserta : Siswa dan Siswi UNISEL seramai 90 termasuk AJK yang turut jadi peserta.

Yang paling menarik lagi bersejarah, Timbalan Naib Canselor UNISEL Prof Madya Zainal Abidin Kidam telah merasmikan acara penutup. VVIP hebat ni, yang sanggup turun tanda sokongan padu dan prihatin.
Maaf ya Prof.. terpaksa tunggu lama..


AJK siswi yang rajin..


Fasi yang ceria, pantang duk depan kamera..


HIJRAH.. Aku kini..
engkau nak berubah tak?


Bersama peserta akhawat (siswi) sebelum pulang.. ramai lagi yang tak sempat nak posing..


Puas hati..
Jumpa lagi.. doakan kami ye Ummi

Oppss, ada seorang personaliti dan celebriti. Beriya nak bergambar. Memperkenalkan..
BOB Unisel..

Kepada semua alumni KBM UNISEL, semoga apa yang dilalui bersama terus terpahat sebagai satu pengalaman berharga untuk mencipta kecemerlangan jati diri bertunjangkan LA ILAHA ILLALLAH, MUHAMMADUR RASULULLAH!

Agar hidup lebih tenang ~PILIHLAH Antara dua cinta  

Posted by: Ummi Ida in



Hausnya..ya kita merasa terlalu haus. Lalu dibawa kepada kita beberapa buah mug yang berisi air. Pelbagai mug, ada yang murah, mahal, cantik dan sederhana..Agak-agaknya mug mana yang menjadi pilihan kita? Tentu ramai kita akan segera mengambil mug yang indah di pandangan mata.. lalu tinggallah mug-mug murah dan biasa-biasa saja.

Tapi sebenarnya mana satu yang perlukan saat itu, airnya atau mugnya..
Kadang-kadang dek terlalu terpanar dengan keindahan mug, terlupa kita akan nikmat air..


Mengamati sebuah nasyid lama
yang sangat dalam maknanya...



apa yang ada jarang disyukuri
apa yang tiada sering dirisaukan
nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang
apa yang diburu timbul rasa jemu
bila sudah di dalam genggaman

dunia ibarat air laut
diminum hanya menambah haus
nafsu bagaikan fatamorgana
di padang pasir

panas yang membahang disangka air
dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan.. leraikanlah dunia
yang mendiam di dalam hatiku
kerana di situ tidak ku mampu
mengumpul dua cinta
hanya cintaMu ku harap tumbuh
dibajai bangkai dunia yang kubunuh

SALAM EIDUL ADHA
korbankan satu cinta untuk mendapat satu cinta yang hakiki.
(peringatan buat diriku yang lupa..)

Jauh di Mata dekat di hati  

Posted by: Ummi Ida in

Anak-anak tersayang. Gambar tahun 2000.
Dulu. mereka masih kecil..

Gambar ini diedit dan ditambah nilainya oleh si 'Me' tu... 'Atikah anak ke 4, Patutlah.. bakat men'design'nya memang besar..

Tetapi.. ketika ini dan untuk beberapa tahun mendatang, dua daripada lima orang anak-anak kami tinggal berjauhan. Mereka dengan perjuangan mereka untuk menuntut ilmu, tinggalkan rumah, ummi dan abah serta adik-beradik semata-mata untuk mengejar cita-cita, melengkapkan diri untuk kejayaan dunia dan akhirat. YA.. kejayaan itu nanti bukan milik peribadi tetapi untuk agama dan ummah seluruhnya..

SMS, telefon, kadang-kadang masuk ke dunia face-book (FB) dan blog mereka, dapatlah mendekatkan hati-hati kami.
Jenguk di FB 'Aisyah (Ecah) yang kat Universiti Malaysia Sabah tu dapat lihat foto-foto menarik ni..

Ni meja study dia.. Ummi suka yang ni..kreatif dan berprinsip!

Yang ni pulak lukisan hatinya untuk adik-adiknya.. "Life component". Missed them ye?..

Apa cerita kakak Asma' sekarang ye.. Katanya ke "luar negeri" (maksudnya tak duduk kat Makassar) sebab kena jaga (klinikal) 'forensik' kat hospital luar kawasan.
Anak yang sulung ni lagilah terpaksa survive kat negeri yang agak tak berapa maju berbanding Malaysia. Go go go Kakak.. tinggal sikit lagi...

Gambar kakak Asma' masa wisuda ( graduation) tahun 3, habis belajar teori. Lega..
Missed you kakak..

Alhamdulillah, syukur pada Allah, masih ada anak-anak yang menemani di rumah..
Thanks my dear..Zubair, Tikah and 'Ammar.. Your existence means a lot to Ummi. Always..

Sembelihlah Dunia untuk Akhiratmu  

Posted by: Ummi Ida in

Ketika mencari-cari bahan ceramah bertajukkan KORBAN sempena Eidul Adha yang bakal tiba lebih kurang dua minggu lagi, terjumpa sabda Nabi buat pedoman hidup ini.

Marilah kita sama-sama beringat-ingat akan pesanan Rasulullah SAW (daripada riwayat At-Termizi, yang bermaksud), antara lain:

“Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, maka Allah akan menjadikan kekayaan di dalam hatinya, mengumpulkan segala urusannya, dan dunia datang kepadanya dengan merendahkan diri. Sedangkan sesiapa saja yang menjadikan dunia sebagai tujuannya maka Allah pasti akan menjadikan kefakiran bertahta di antara kedua matanya, mencerai-beraikan urusannya dan dunia tidak akan datang kecuali yang ditetapkan untuknya sahaja.”

Wah ! Besar sungguh tuntutannya. Besarpula pengorbanan yang mesti dilakukan. SEMBELIHLAH DUNIA UNTUK AKHIRATMU! Korbankanlah kecintaan mu pada yang lain di dunia ini untuk mendapat cintaNya.

Sesungguhnya, saat berderainya jatuhnya titisan airmata suci Nabi Ibrahim, melihat keteguhan iman anaknya Nabi Ismail, di kala itulah bermula sejarah agung - ERTI SEBUAH PENGORBANAN


Sahabat Seperjuangan  

Posted by: Ummi Ida in

Alhamdulillah, hujung minggu lepas adalah hari-hari yang sibuk. Ada dua program remaja ( Keindahan Bersamamu aka KBM) serentak. Satu untuk Sek Men Agama KL (SMAKL) dan satu lagi SMK Cheras Perdana. Petang Ahad tu pulak ada majlis Hi Tea Tautan Kasih anjuran Wanita JIM KL. Bergegas tanpa menunggu majlis penutup KBM SMAKL di Kem Herba Sg Congkak, saya memandu pulang menuju ke Pusat Komuniti JIM yang julung-julung kalinya telah ditransformasikan menjadi sebuah Dewan Hi Tea!! Hebat, hebat..
Wah.. cantiknyer..

Seronok dapat berjumpa dan beramah mesra dengan sahabat-sahabat seperjuangan dari badan NGO dan da'wah yang lain. Di meja makan, kami berbincang banyak perkara.

Sahabat seprjuangan dari HELWA ABIM KL dan adik-adik dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.


Dr Roosni, Pengarah Nisa MAlaysia juga hadir. Dapat duduk semeja dengannya bersama Kak Normah dari Al Nida


Bergambar ramai-ramai seusai majlis. Kemesraan terbina, hati dan azam bertaut untuk memikul tugas da'wah dan islah di hari-hari mendatang, insyAllah.

Daripada Saifulislam - RUMAHTANGGA HILANG PERENCAH KATA  

Posted by: Ummi Ida in



Terjumpa satu artikel yang sangat menarik dari blog Ustaz Hasrizal aka Saifulislam
http://saifulislam.com/

RENUNGAN BUAT MEREKA YANG BERGELAR SUAMI DAN ISTERI.

“Assalamualaikum,” sang suami memberi salam tatkala menjengah di muka pintu usai pulang daripada kerja.

“Waalaikum al-salaam. Abang tolong petik suis kipas tu,” jawab si isteri yang sedang membedakkan anaknya.

Wajah suami menjadi kelat.

Suis dipetik, tetapi cerianya di muka pintu tadi terbang melayang.

“Ina sakit kepalalah. Agaknya sebab kopi yang Ina minum petang tadi. Banyak kafien,” adu sang isteri sambil memicit-micit kepalanya.

“Ayang ada nampak tak butang baju melayu abang? Rasanya semalam abang letak di atas almari ini,” jawab si suami, dengan soalan yang bukan jawapan.

Si isteri bangun dengan air muka yang berubah, sambil teraba-raba mengeluarkan butang baju melayu suami daripada simpanan.

SEMUSIM TELAH BERLALU

Dialog seperti ini tidak melintas kehidupan pasangan yang masih berinai di jari. Tatkala itu, bicaranya panjang-panjang. Selang seminit ada sahaja gurau senda yang memecah tawa. Itu seni berbual di musim bulan madu.

Tetapi selepas masa berlalu, perbualan menjadi semakin ringkas dan isi-isinya lebih banyak bersangkutan dengan rutin harian berbanding butir-butir baru yang menambah warna hubungan antara suami dan isteri. Jika dahulu, had 160 karakter pada SMS itu menambah sulit untuk pesan-pesan dihantar antara dua pasangan yang bercinta, kini 160 karakter itu sering sahaja berbaki. Bukan kerana banyak ringkasan ejaan, tetapi banyak ringkasan pesan.

Ada kalanya perkembangan seperti ini tidak disedari berlaku di antara suami dan isteri. Mereka membiarkan sahaja perbualan sesama mereka hilang kemanisan dan kemesraan. Sebaliknya berasa cukup selesa dengan tercapainya matlamat-matlamat harian, dan tercegah daripada pergaduhan yang kebetulannya sering mencelah hubungan mereka semasa beranak satu dahulu, berbanding sekarang.

Seorang isteri mahu pun suami harus bertanya, apakah isi kandungan kata-kata hariannya kepada pasangan?

Arahan?

Suruhan?

Permintaan?

Larangan?

Kritikan?

MINIT-MINIT PENENTU

Selepas berpisah separuh hari kerana komitmen kerja, memilih perkataan yang betul sebagai pemula bicara di minit-minit awal pertemuan amat penting. Tetapi setelah 12 jam tidak bertemu, dan kalimah yang menyambut pertemuan ialah ‘arahan’ biar pun arahan itu logik, perlu, dan tidak mempunyai apa-apa niat yang tidak baik, ia tetap tabiat yang mampu menghambarkan hubungan perkahwinan.

“Assalamualaikum,” kata suami semasa isteri membuka pintu kereta.

“Waalaikum al-Salaam. Amboi cerianya muka abang. Ada berita baikkah?” jawab si isteri, beserta kenyataan yang memperlihatkan kepekaannya ‘membaca’ suami.

“Oh, tiada apa-apa. Projek abang dah siap. Berita baiknya, balik ke rumah hari ini dengan kepala kosong. Tenang” balas suami. Bijak mewujudkan ‘berita baik’ walaupun mungkin tidak terfikir mengenainya untuk dikongsi bersama isteri semasa terperangkap di kesesakan jalan raya tadi.

“Baguslah. Tidaklah nanti mengigau-ngigau di malam hari. Abang kalau runsingkan sesuatu sampai bercakap dalam tidur, tau” tambah si isteri.

Perbualan itu berterusan dan ia amat berkesan dalam menghilangkan rasa letih bekerja sepanjang hari kedua-duanya. Si suami biar pun sudah 10 tahun berumahtangga, sering mahu bersegera bertemu dengan isteri kerana yakin bakal terhibur dengan celoteh yang menenangkan diri setelah diasak bebanan tugas semenjak pagi. Isteri juga tersenyum-senyum berdiri di bawah redup bumbung pejabat kerana perbualan semalam bersama suami terasa bagai mahu disambung lagi.

DIALOG PEROSAK

Berbeza sekali kesan perbualan pasangan berikut ini:

“Assalamualaikum. Lama tunggu?” tanya suami kepada isteri setelah tiba lewat sedikit akibat traffic jam.

“Wa ‘alaikum al-Salam. Biasa aje. Abang jom pergi kedai sekejap. Tadi bibik sms, katanya sabun mandi anak sudah habis,” jawab isteri, beserta ‘permintaan’.

“Ok,” jawab suami, benar-benar ringkas.

“Letih betullah di tempat kerja tadi. Minggu depan ada pemeriksaan ISO. Habis semua orang dikerah bos supaya menyediakan laporan. Rasa bengkak tangan ini dibuatnya,” kata isteri sambil menunjukkan tangannya.

Suami hanya menjeling di hujung mata.

“Jadi minggu depan, you balik kerja lewatlah ya?” tanya suami.

Soalannya langsung tidak mempunyai sebarang indikasi yang menunjukkan kepeduliannya terhadap bengkak tangan si isteri.

“Agaknya” balas isteri.

Suami terus memerhatikan trafik.

Isteri pula merenung jauh ke luar tingkap.

Hanya hilai tawa DJ radio sahaja yang memecah hening sepi di dalam kereta.

Kedua-duanya sedang membunuh kasih sayang mereka tanpa sedar, tatkala bicara masing-masing gersang dari sebarang emosi dan usaha yang bisa menyuburkan cinta. Mereka tidak bergaduh, tetapi menyediakan tapak untuk perang dingin yang membingungkan.

RAFAS DAN JANGAN RAFAS

Pernahkah kita terfikir mengapa di dalam suasana-suasana tertentu, kita dilarang daripada mengungkapkan kata-kata atau melakukan sebarang perbuatan yang dikategorikan sebagai rafas di dalam al-Quran dan al-Sunnah? Bagi mereka yang berada di dalam ihram, atau yang sedang berpuasa khususnya di bulan Ramadhan, larangan terhadap unsur rafas itu diulang berkali-kali.

Rafas ini adalah perkataan atau perbuatan yang bersangkut paut dengan seks, bermula daripada cakap-cakap dan tindak tanduk hinggalah membawa kepada menggauli pasangan.

Jika negatif ia bernama lucah.

Jika positif ia bermaksud intim.

Kedua-duanya harus dielak tatkala sedang berihram atau berpuasa kerana kondisi masing-masing yang sedang ‘terbatas’.

Tetapi ketika suami dan isteri tidak berihram mahu pun berpuasa, ‘berrafaslah’ kamu antara satu sama lain!

Ia tidak sama sekali bermaksud melucahkan perkataan atau perbuatan. Tetapi apa yang diperlukan dalam hubungan suami isteri adalah kata-kata dan perbuatan yang intim serta menerbitkan rasa cinta.

HAMBAR DAN HILANG ‘SENSE OF HUMOR’

Seandainya suami yang balik bekerja, mengajak isteri berbual tentang pandangannya berkaitan dengan perkembangan Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur, atau gosip ekonomi di saluran Bloomberg, di manakah saluran untuk terbitnya rasa cinta dan mesra antara pasangan berkenaan?

Mungkin pandangan ini lebih perlu ditegaskan kepada pasangan-pasangan yang bertemu jodoh di medan dakwah. Kita pasti, ramai daripada kalangan aktivis dakwah yang berkahwin adalah di atas faktor-faktor yang tinggi, dan bukan didorong oleh kecantikan isteri, atau ketampanan suami.

Tetapi, biar pun perkahwinan itu bukan kerana kecantikan, janganlah sampai sang suami langsung tidak pernah menghargai kecantikan isteri.

“Abang, cantik tak baju raya saya ni?” tanya si isteri yang baru membeli baju raya dengan warna sedondon baju raya suami yang telah ditempah lebih awal.

“Hmm…” jawab si suami, langsung tidak menampakkan sebarang emosi.

Lebih teruk lagi, jika usaha isteri untuk berhias, diperlekeh pula oleh si suami.

“Ok la, berbanding dengan nangka berbalut kain batik di pokok tu!” kata suami.

Aduh, hancur hati isteri mendengarnya.

Sama jugalah dengan sang isteri. Andaikata perkahwinan yang dibina tiada kena mengena dengan soal paras rupa sekali pun, berilah galakan kepada suami untuk berhias. Tidaklah sampai bersolek pula, tetapi cukuplah dengan memakai pakaian yang kemas, rambut bersikat, janggut dikemaskan, bulu ketiak dan kuku dipotong, serta tubuh badannya diberi galakan agar maintain dan tidak terlalu membesar.

TELADAN NABAWI

Pernah di suatu ketika, terdapat sebuah kisah yang disampaikan oleh ‘Abbas al-’Aqad di dalam ‘Abqariah al-Siddiq berkenaan dengan sebuah syair yang telah dihafal oleh ‘Aisyah radhiyallaahu ‘anha. Syair berkenaan dipelajari oleh ‘Aisyah daripada bapanya Abu Bakr al-Siddiq radhiyalaahu ‘anhu.

“Suatu hari ketika cuaca begitu panas terik, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memperbaiki kasut baginda. Di dahi baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengalir peluh hingga ke pipi. Ketika itu ‘Aisyah mampir dan memerhatikan baginda dari dekat, seolah-olah beliau teringatkan sesuatu.

Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya, “Apakah hal yang menyebabkan engkau tercengang?”

‘Aisyah menjawab, “Diriku merenung wajahmu, dan keringat yang mengalir itu menerbitkan kilauan yang menakjubkan diriku. Sekiranya Abu Kabir al-Hazli melihatmu, pastilah dia tahu bahawa engkaulah orang yang paling berhak ke akan syairnya.”

Baginda bertanya lagi, “apakah yang dia katakan?”

‘Aisyah menjawab dengan lantunan syair:

syair-abu-kabir

Tidak berbekas padanya (kebudak-budakan) susuan ibu atau sakit yang melarat
Jika engkau memandang kepada wajahnya yang berseri-seri
Bercahaya bagaikan kilatan petir yang menyambar

Baginda Rasulullah sallallaahu tatkala mendengar syair itu melepaskan apa yang ada di tangan Baginda, bangun lalu mencium dahi ‘Aisyah dan berkata, “kemanisan apa yang telah engkau ungkapkan, adalah lebih mengujakan berbanding pandangan peluhku berbekas kepada dirimu!” [Lihat juga Rahmat-ul-lil-Aalameen: jilid 2, ms. 153]

Catatan itu begitu indah pada menggambarkan keintiman hubungan di antara Uswah Hasanah kita dengan isterinya. Bagaimana ‘Aisyah menggunakan kuasa kata-kata syair yang indah untuk memuji suaminya yang kepenatan bekerja, manakala suami pula menunjukkan penghargaan tertinggi kepada usaha itu lantas membalasnya dengan ciuman mesra di kening sang isteri.

Tidak hairanlah pada titis peluh pun boleh ada sinar cinta!

Keindahan Rumahtangga Nabawi itu bukan dicampakkan Allah daripada Syurga tanpa harga. Ia datang bersama usaha Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan isteri baginda pada menimbulkan perasaan cinta dan kasih sayang yang membawa ke Jannah.

Justeru bagi para suami dan isteri yang sudah masuk sedekad mengharung kehidupan, hitungkanlah kata-kata dan perbuatan seharianmu. Apakah ia baja menyubur cinta, atau bahang kemarau gersang.

Bertindak sebelum terlambat.

Mencegah lebih indah daripada mengubat.

Hambar kata mendingin rasa, perang tanpa berkasar suara, sebelum tiba malang dan petaka, beringat-ingatlah meniti usia.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Ujian? Bertambahkah iman?  

Posted by: Ummi Ida in

Hidup ini sementara kan..?
Penuh pula dengan ujian..Ada orang diuji dengan pelbagai kepayahan, ada yang berharta tapi sakit dan tak sihat pulak..ada yang miskin dan serba tak cukup, masalah kelaurga, rumah tangga dan macam-macamla. Tika itu jiwa resah, tak bahagia, tension..

Antara ujian terbesar yang berlaku tak jauh dari kita kat Malaysia ni dulu .. ialag peristiwa Tsunami. Ye lah semua itu tak pernah kita duga, ia berlaku sangat tiba-tiba..
Baru-baru in, gempa bumi di Padang..lagi sekali kita dikejutkan..
Apa iktibarnya ya?
Adakah kita hanya berkata;
.."ee kesiannya"..
Atau mungkin juga kita tak merasa apa-apa.. malah berkata..
.."biasalah kat sana tu memang senang gempa bumi.." (??)

Tahukah kita kalau ALlah nak uji kita dengan kejadian yang serupa sebagai peringatan kepada kita, ia tentu tidak mustahil...

Mari kita mengambil semua ini dengan menjadikan semua ujian yang berlaku sebagai penambah iman dan keyakinan kita kepada kekuasaan Sang Pencipta yang memiliki seluruh alam semesta ini. Yang apabila MENGKEHENDAKI SESUATU hanya akan berkata: Jadilah! maka akan jadilah..

"Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya menaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya." (QS Al Israa' 17:16)

Slide 8




Syawal berlalu, pengalaman beribu  

Posted by: Ummi Ida

Lama tak sempat menjenguk blog..
Sepanjang Syawal tahun ini, macam-macam berlaku..Kami sekeluarga berhari raya di Sg Koyan 3, Raub. Tapi raya tahun ni cukup cukup berbeza.. Rayakah kami?..

1 Syawal (20 Sept)ayahanda tercinta Tuan Hj Maludin diserang stroke tiba-tiba. Malam tu jugak berkejar ke Hospitl Kuala Lipis untuk rawatan. Ditahan di wad kat hospital tu 2 hari. Memandangkan masih cuti raya, doktor dan kemudahan rawatan kecemasan di situ amat kurang. Kami adik-beradik sepakat membawa ayahanda ke Kuala Lumpur untuk rawatan lebih intensif..
PUSRAWI menjadi pilihan..

Apak terbaring di katil ..
Ya Allah, sembuhkan apak yang telah banyak berjasa membesarkanku selama ini..

Alhamdulillah, 5 hari di PUSRAWI, apak dibenarkan pulang.

Kami bawa dia jalan-jalan di Taman Metropolitan Kepong sebagai satu cara fisioterapi..di temani cucu-cucu (anak-anakku) yang masih bercuti.
Masa utk berbakti , birru walidain.. berbuat baiklah kepada kedua orang tuamu..

Terimakasih kepada semua abang-abangku, adikku, saudara mara jauh dan dekat, sahabat handai dan semua yang telah mendoakan dan datang berziarah. Jasa kalian tidak mungkin akan dilupakan..

Nak Raya Tak?~ RAYA yang Sebenar RAYA  

Posted by: Ummi Ida in


Sempena hari raya yang bakal tiba, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad saw. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 keadaan:

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.

2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan

3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka

4.
Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka

5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala


Menurut Nabi Muhammad saw. Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.

Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari yang harus dirayakan.

Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati. Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakrat, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita. Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.

Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercampak ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.

Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah agung Allah AWT. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.

Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hariraya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi.

Hari Raya Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.

Mudah-mudahan hariraya yang akan kita temui beberapa hari lagi tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taaa di syurga kelak.

Amin..

Justeru, ayuh marilah kita sama-sama mengambil kesempatan di hari-hari akhir Ramadhan ini untuk terus menikmati kelazatan ibadah puasa, zikir, terus tegak berdiri di dalam solat-solat yang panjang , rukuk, bersujud dan bertasbih memuji Allah. Agar amalan-amalan ini berkekalan selepas habisnya Ramadhan dan melayakkan kita berhari raya dengan raya yang sebenarnya.


Kullu am..wa antum bikhair..


JOM Iktikaf  

Posted by: Ummi Ida


Ummi : Assalamu'alaikum Aisyah
Aisyah : Wa'alaikumussalam. Mi, nape?
Ummi : Syah, malam ni malam 21, gi iktikaf tau..
Aisyah : oowh.. ye ke.. ok..ok..

Tengahari tadi saya menelefon anak yang di UMS, Kota Kinabalu, sekadar mengingatkan..


JOM iktikaf..

Bayangkan.. jika ini Ramadhan terakhir..

Ya Allah, pilih kami Ya Allah sebagai hamba-hambaMU yang beruntung di malam Al QADR tahun ini..
Amin..ya Rabb

KBM TPM College cipta sejarah  

Posted by: Ummi Ida in

KBM Technology Park Malaysia College ::..


Terciptalah SEJARAH.. KBM di bulan Ramadhan
Bagi saya ( Ummi Ida..gelaran dalam team KBM KL) lagilah bersejarah.... sebab kali pertama KBM bersama pelajar IPT..

Memang best.. puas.. tak terkira..

Inilah laporan penuh..

Alhamdulillah, pada tarikh 5 & 6 september 2009 yang lalu, kami telah diberi peluang untuk berkongsi ilmu bersama dengan pelajar-pelajar Technology Park Malaysia College ( TPM Coleege ).Seramai 40 orang pelajar telah menjadi peserta pada kali ini, 22 orang perempuan & 18 orang lelaki. Inilah satu-satunya KBM yang diadakan pada bulan ramadhan, alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

KBM kali ini dikendalikan oleh abang bai & ummi Ida serta tema KBM KL yang terdiri daripada pak long, pakkay, pak ngah, kak yong, kak muss, abg wan dan beberapa orang lagi fasilitator.


Lanjutan dari program KBM ini, pihak KBM Excellence telah menjemput peserta-peserta yang berminat utk menjadi Fasilitator utk program KBM di SM Teknik Port Dickson pada 10 & 11 Oktober ini nanti. Menurut penasihat program, Ust Iswadi, inilah peluang untuk anak-anak muridnya berbakti kepada masyarakat.

pihak KBM mengucapkan jutaan terima kasih kepada TPM College kerana memberi kepercayaan kepada Kami untuk berkongsi ilmu & pengalaman yang ada. Semoga terus menyerlah jauh dari yang biasa....

KBM - Seribu Langkah, Sejuta Wajah  

Posted by: Ummi Ida



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan. Sudah lebih setahun saya berpeluang bersama team KBM Kuala Lumpur ( KBM ~ program Keindahan BersamaMu ) . Sudah lebih 50 buah sekolah kami jelajah di merata pelusuk Kuala Lumpur dan Selangor. Sekolah elit, ceruk kampung dan hulu, sekolah berasrama penuh semua kami redah atas jemputan sekolah terbabit.
Hampir semua hujung minggu kami ber KBM. Bahagia..walaupun biasanya usai sahaja program, sampai je kat rumah, badan memang letih teramat.

Bagi diri sendiri, program KBM juga adalah program untuk me'recaj' cinta kepada Allah, Rasul dan kasihkan ibu ayah.

Sekadar menyorot kembali, antara KBM yang awal-awal dulu.
KBM di Taman Medan.



KBM di SMK Bandar Banting - Bergambar bersama kakak-kakak
fasi yang pantang jumpa kamera..


KBM di Kg Melayu Bt 16, Rawang


KBM Sek Agama Men Nurul Iman ( SAMNI) Bkt Cherakah






Terkini, di bulan mulia Ramadhan ini, dapat bersama dengan peserta KBM di TPM College
Bukit Jalil pada 5 Sept 2009 bersamaan 15 Ramadhan 1430H.
Gambar KBM TPM College, akan dikongsikan kemudian, insyaAllah

HATI~ Hidup atau Mati?  

Posted by: Ummi Ida


Kita sudah hampir ke pertengahan Ramadhan. Terlalu cepat masa berlalu. Hari-hari di bulan mulia ini terus meniti waktu seperti selalunya. Terlalu pantas; tidak terasa ia pergi. Lazimnya, kita hanya menyedarinya sudah kehilangannya bila kita duduk merenung dan menghitung-hitung apakah peningkatan amal ibadah di bulan Ramadhan kali ini berbanding Ramadhan tahun lepas.

Semakin terasakah nikmat kita berpuasa di siang hari? Apakah malam kita masih meriah dengan solat yang panjang?

Sesungguhnya, Ramadhan bukan sekadar menghidupkan malam, siangnya kita berlapar-laparan dan berletih-letih. Tetapi Ramadhan adalah untuk menghidupkan fikiran, hati dan jiwa dengan rasa bertuhan.

Ramadhan sebenarnya hendak memeriahkan jiwa dengan rasa kehambaan, rasa hina, rasa lemah dan rasa kerdil di hadapan Allah, tuhan yang Maha Berkuasa.

Ramadhan hendak mengimarahkan jiwa dengan rasa rendah diri, takutkan Tuhan, cintakanNya.

Berdiri, rukuk, bersujud, bertasbih di dalam solat yang panjang di malam-malam Ramadhan janganlah hanya sekadar memeriahkan malam yang suram, tetapi ia sepatutnya menjadi bukti syukur seorang hamba kepada Penciptanya.

Terlalu besar nikmat Allah yang kita terima. Jika kita cuba hendak menghitungnya, pasti sepanjang hayat tidak akan selesai. Begitu juga jika kita ingin berterima kasih kepada-Nya, sepanjang hayat tidak mampu berbuat demikian yang sepadan dengan nikmat itu.

Rasulullah cuba melahirkan rasa syukurnya terhadap nikmat Allah dengan bersembahyang pada waktu malam hingga bengkak kakinya.

Imam At-Tarmizi meriwayatkan, daripada Al-Mughirah bin Su’bah berkata:

Maksudnya;


“Rasulullah SAW menunaikan solat hingga bengkak kedua kaki Baginda. Dikatakan kepada baginda, apakah sebab kamu menyusahkan diri kamu ini, sedangkan kamu telah diampunkan dosa yang telah lepas dan yang akan datang. Berkata Baginda SAW, apakah tidak aku menjadi hamba yang bersyukur?”

Rasulullah bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya Allah berfirman: “Sesiapa yang memusuhi kekasih-Ku, maka sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang dengannya. Tidak ada perkara yang paling Aku sukai dilakukan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain daripada dia melakukan apa yang Aku fardukan ke atasnya. “Dan sentiasalah hamba-Ku itu menghampirkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan amalan yang sunat hingga Aku kasihkannya. Maka apabila Aku telah kasihkannya, maka Akulah pendengaran yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya, tangan yang dia menghulur dengannya dan kaki yang dia berjalan dengannya. Jika dia meminta dari-Ku, akan Ku berikan apa yang dipintanya. Dan jika dia memohon perlindungan, pasti akan Ku lindunginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ramadhan juga hendak menebalkan rasa berdosa lalu segera memohon keampunan daripadaNya.

Kedatangan Ramadhan adalah bertujuan menghidupkan hati yang mati sebelumnya. Moga-moga kesan sebulan menghidupkan hati mampu kita pertahankan untuk 11 bulan berikutnya. Dan kemudian apabila Ramadhan menjengah lagi pada tahun berikutnya, kita mampu untuk menghidupkan semula hati yang mulai mati… lalu kita atur semual strategi untuk mempertahankannya semula untuk tahun yang berikutnya… Itulah cara terindah ALLAH ciptakan untuk manusia2 hina seperti kita yang seringkali lalai dan leka.

Bagi orang yang bertaqwa, jiwanya pasti hidup setiap masa, kerana cinta dijiwanya tak pernah pudar, dan kehambaannya tak pernah berbelah bagi.

Buat kita hamba yang hina-dina ini, jika hadirnya Ramadhan masih tidak mampu mendidik jiwa dan hati, maka di manakah hendak kita letakkan diri di sisi Ilahi?

Isu Hukuman Sebat Kartika Sari~ adakah kita peduli?  

Posted by: Ummi Ida

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

28 Ogos 2009 ( 8 Ramadhan 1430H)
ISU KARTIKA - Tangani dengan objektif dan rasional

Di awal bulan mulia Ramadhan dan di ambang sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke-52, Malaysia digemparkan dengan isu pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang ibu berusia 32 tahun, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah Pahang meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang. Pelbagai pihak memberikan maklumbalas yang berbeza, sementara media dalam dan luar negara pula menggembar-gemburkan isu ini hingga ianya menjadi satu polemik yang sensasi. Menurut perkembangan terkini, hukuman tersebut dikatakan akan disemak semula oleh pihak Mahkamah Syariah Pahang, atas desakan dan tekanan yang diterima.

Wanita JIM berpandangan perlunya isu ini dilihat dan dinilai dengan penuh objektif dan rasional, tidak semata-mata penuh emosi dan sensasi. Beberapa persoalan penting yang timbul berikutan polemik ini memerlukan jawapan tepat dan tindakan segera agar isu ini dapat selesai dengan cara terbaik, tanpa menggadaikan kredibiliti dan mengaibkan sesiapapun, khususnya institusi kehakiman syariah yang memayungi kehidupan umat Islam di Malaysia selama ini, juga tidak Kartika Sari Dewi dan keluarganya.

Isu hukuman sebat Kartika menimbulkan banyak persoalan, antaranya :

  1. Sejauhmanakah sebenarnya tahap kesungguhan dan kesediaan umat Islam di Malaysia , struktur sistem pentadbiran dan kepimpinan negara yang ditunjangi oleh orang Islam dalam mempraktikkan ajaran Islam yang syumul dan menjanjikan kesejahteraan yang hakiki? Apabila mahkamah syariah di sebuah negeri menghukum dengan peruntukan enakmen yang diluluskan melalui prosedur yang betul, mengapa begitu ramai yang mempersoalkan keadilan dan kebijaksanaan keputusan tersebut? Bukankah itu boleh dianggap sebagai menghina mahkamah? Bagaimanakah pula caranya kejahilan dan kekeliruan umat Islam ini boleh diatasi – sehingga dibimbangi akidah dan keyakinan mereka begitu mudah terhakis dan tergugat, mengambil pendirian lebih berdasarkan emosi dan bukan berasaskan fakta dan sumber ilmu yang sahih?

  1. Bagaimanakah boleh terjadi ketidakseragaman sistem, di mana apabila hukuman telah dijatuhkan oleh pihak penghakiman berdasarkan bukti dan hujah pihak pendakwaan, pihak pelaksana pula yang belum bersedia untuk melaksanakan hukuman tersebut kepada sipesalah? Di manakah silap dan salahnya, sehingga jelas sungguh ketempangan dan kekurangan yang ada dalam sistem kehakiman syariah di negara ini? Sampai bilakah harus berlaku perkara yang boleh memalukan institusi Islam khususnya dan umat Islam amnya?

  1. Sampai bilakah agaknya, umat Islam di Malaysia terhalang dari menjalani kehidupan beragama sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Berapa ramai lagi orang Islam yang ikhlas dan insaf serta rela diadili dan menerima hukuman yang ditetapkan oleh kehakiman Islam tidak terbela dan dihalang dari melaksanakan ajaran agama mereka, sebagaimana juga Kartika Sari Dewi? Bagaimana pula dengan golongan yang menggelar diri mereka Muslim, namun terang-terangan tidak langsung menghormati ketetapan agama, malahan sentiasa pula mencemuh, memperlekeh dan mempersendakan Islam itu sendiri?

Wanita JIM menuntut jawapan yang tegas dan tindakan susulan yang segera bagi semua soalan-soalan di atas. Selagi mana tiada usaha merungkai persoalan asas tersebut, umat Islam di Malaysia akan terus menerus diselubungi kemelut kekeliruan dan kejahilan yang semakin menebal dan merugikan.

Wanita JIM mendesak agar semua pihak yang `menangguk di air keruh’, menggunakan kemelut isu hukuman sebat Kartika ini sebagai satu lagi `bukti’ ketidakadilan syariah Islam yang dianggap sentiasa menindas wanita, memberhentikan segera tindakan tersebut. Dalam masa yang sama, Wanita JIM menuntut sepenuh komitmen dan kebijaksanaan yang sewajarnya dari pihak kehakiman syariah di Malaysia agar segera melipatgandakan usaha meningkatkan kredibiliti institusi tersebut demi menjaga maruah dan nama baik Islam di mata masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Untuk Kartika Sari Dewi dan keluarganya, Wanita JIM mendoakan agar Allah SWT terus memberikan kekuatan dan sokongan untuk beliau menghayati kehidupan Islam yang sejahtera. Segala kesilapan dan dosa yang lalu, biarlah kekal menjadi sempadan dan peringatan

Semoga kemelut isu Kartika juga menjadi `pembuka mata’ kepada kita semua, betapa perlunya umat Islam di negara ini kembali kepada akidah yang sahih, penghayatan ilmu yang mantap dan keazaman yang tinggi dalam mempraktikkan Islam dalam kehidupan.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita Pusat

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Cepatnya masa..  

Posted by: Ummi Ida


Satu pertiga pertama Ramadhan 1430H telah berlalu.
Sungguh cepat masa itu berlalu. Hati dah mula berbisik......" ala..patut buat lebih baik lagi.."
Tapi apa pun, masih tetap bersyukur kerana tahun ini dapat berpuasa lagi. Tambahan pula, anak yang sulung, kakak Asma' berpuasa dengan kami tahun ini kerana bercuti dari studynya di Universiti Hasanuddin, Makassar, Indonesia.
Cuma anak yang ketiga pulak yang tak da.. nun kat UMS di Kota Kinabalu. Study rajin-rajin ye 'Aisyah.. kejar cita-cita sampai berjaya.

Pagi ini dapat panggilan teleon dari Kak Arfah beritahu ada seorang banduan wanita akan bebas hari ini. Seorang muallaf berbangsa India. Ingin terus mempelajari Islam kat luar bila dah bebas ni.. Tapi masalahnya tidak ada tempat untuk dituju.. Keluarga sudah tidak menerimanya.
Kami sedang mengusahakan sesuatu untuk membantunya..

Semoga berjaya dan dipermudahkan urusan kami..
Saudara baru saudara kita..

Peduli H1N1- Tips permakanan ~do and don't  

Posted by: Ummi Ida

(English Article- happy reading ya)

If a severe flu strikes in which people with strong immune systems are succumbing such as happened in 1918 or with SARS or H5N1 avian flu, AVOID the following herbs and foods:

  1. Elderberry juice
  2. Chlorella and spirulina
  3. Honey
  4. Chocolate
  5. Echinacea
  6. Kimchi

All of the above increase production of the cytokines NTF-a or IL-6 or both.
For any respiratory illness, also avoid dairy products and bananas, because they increase mucous production.

TAKE:
The following herbs, vitamins and foods are helpful against respiratory illnesses:
Garlic: crush and eat raw as a great anti-viral
Vitamin C: 1000 mg/hr for the first 6 hours, then 1000 mg three times a day. Blocks neuraminidase (by which viruses replicate) and inhibits TNF-a and IL-6 production.
Green tea: works as well as Tamiflu to inhibit neuraminidase. Also inhibits TNF-a production.
Vitamin E: boosts immunity. Especially effective with Vitamin C, good for the elderly.
Apples: anti-viral. The peel is the best. The flesh may be too sugary for some.
Cranberry juice: possible anti-viral.
Curcumin: yellow substance in tumeric. Reduces TNF-a. Research indicates possibly effective in preventing cytokine storms. Must be taken together with black pepper or it will be metabolized in the intestine and liver. Should be avoided by pregant or nursing women. Dosage of 400~5,000 mg/day.
Astragalus root: boosts immunity.
Tea tree oil steam inhalation: possibly reduces TNF-a. Hot water in bowl with 2 drops tea tree oil, towel over head.

Dikongsikan oleh Dr Suriyakhaton dari Melaka. (Terima kasih Kak Su)

Source: Australian biologist Stephen Jones
http://www.the-health-gazette-blog/alternative-medicine/natural-antivirals

PUASA ITU JUNNAH ( PERISAI)  

Posted by: Ummi Ida

Salam Ramadhan Kareem buat semua..
Kullu am wa antum bikhair..

"Bukanlah puasa itu (hanya) menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya ia juga harus tertahan dari perkara lagha dan lucah. Apabila kamu dimaki atau diperbodohkan, berkatalah AKU BERPUASA"
(riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068)

Apabila kamu dimaki hamun, jangan balas dengan maki hamun.

Apabila kamu diajak gaduh, jangan sahut dengan pergaduhan.

Andai kamu digelar bodoh atau dianggap bodoh, jangan tergesa-gesa mahu menunjuk pandai.

Sebaliknya berkatalah… AKU BERPUASA.

NAH! Hebat ajaran Nabi SAW. Sirahnya nyata berbeza.

Ketika seorang lelaki datang kepada Baginda SAW meminta izin untuk menjadi Muslim yang berzina, apakah anda kira Rasulullah SAW tidak terguris dengan permintaan kurang ajar begitu?

Semasa seorang Badwi datang ke masjid, menjadi tetamu biadab yang kencing di dinding rumah Allah itu, apakah anda kira Rasulullah SAW tiada sifat marah?

Baginda SAW tidak marah bukan kerana tidak mampu marah. Baginda itu seorang yang amat ekspresif. Khutbahnya pernah memerahkan mata kerana begitu memaksudkan apa yang dikata.

Tetapi Baginda SAW itu gagah… gagah yang tulen iaitu pada keupayaan diri mengawal marah.

Sahabat melenting dan mahu membelasah si Badwi itu, namun Baginda menegah.

“Biar dia habiskan urusannya!”, kata Baginda tenang.

Lantas Baginda SAW meminta air dan sendiri membersihkannya.

Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!

Sekali lagi, Baginda SAW mengajar bahawa yang gagah itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah.

Inilah latihan puasa. Sesungguhnya, Ramadhan datang dengan pakej latihan untuk mengajarkan kita PUASA ITU ADALAH PERISAI!.

Lawatan terakhir sebelum Ramadhan  

Posted by: Ummi Ida

Minggu lepas, 11 Ogos 2009 adalah merupakan lawatan terakhir saya dan sahabat-sahabat ke Penjara Wanita Kajang. Biasanya, sepanjang Ramadhan, kami 'berehat' sebentar dan hanya akan menyambung semula program kami dengan saudara-saudara seaqidah yang kami kasihi di sebalik jeriji besi itu pada minggu kedua bulan Syawal..
Mereka semua mengeluh bila mengetahui kami bercuti..

Hingga kini saya masih tidak akan lupa pengalaman saya bertemu Puan Y..

‘‘Tuhan dah bayar tunai pada saya, saya terlalu berdosa sehingga menyebabkan keluarga saya menanggung susah dan anak saya terpaksa berhenti belajar, nak makan pun susah.
Untuk apa lagi lantik peguam untuk saya? Saya telah diburu dosa, kalau tidak terdesak, saya tak nak buat semua ini tetapi setiap detik saya diburu ah long.’’

Sambil menangis teresak-esak, dia meminta supaya mahkamah meneruskan prosiding menjatuhkan hukuman kerana mendakwa dia telah cukup terseksa dan tidak mampu melantik peguam bela.

"Saya mengakui kesilapan saya, saya benar-benar bertaubat dan insaf atas perbuatan saya, di samping itu saya mahu dekatkan diri kepada Tuhan".

Demikian antara perkataan yang pernah diucapkan oleh Puan Y yang mengaku bersalah atas tuduhan pecah amanah hujung tahun lalu.

Amat benar sekali, kini wanita ini sudah jauh berbeza.

Sejak dia sama-sama menjadi penghuni sementara di Penjara Wanita Kajang, pasti kami akan bertemunya dalam setiap kunjungan kami. Dia pasti akan berada di barisan hadapan serta akan memberikan sepenuh perhatiannya kepada yang disampaikan oleh kami atau penceramah jemputan dari JIM yang lainnya. Sangat mudah pula wanita ini tiba-tiba akan merasa begitu hiba lalu menangis mengenangkan nasibnya.


“Kak Y, anak-anak sihat ke?” tegur saya.

“Sihat ustazah, tapi akak tengah sedih ni..” tiba-tiba airmatanya mengalir.
“Semalam anak-anak akak datang .. dua-duanya datang.
Mereka nak konvo bulan depan.. tapi pasti akak tak dapat bersama mereka.. sedih la.....”
Airmata bergenang di kelopak matanya..wajahnya tertunduk..
”Sorang tu bakal doktor, adiknya tu bakal peguam..”

”Tahniah kak”.. sambil saya memegang erat tangannya..
Tapi airmatanya mengalir deras tak dapat ditahan lagi.. Dia menangis semahunya..

Saya hanya mampu memegang bahunya, menatap wajahnya dan berkata...”Ikhlaskan saja ye kak... ”
Dia terus menunduk dan saya terpaksa berlalu kerana waktu kunjungan kami sudah cukup.

Semoga Puan Y diberikan kekuatan dan ketabahan mengharungi kehidupan..terus menikmati keindahan Islam dan Iman.. Amin.