PUASA ITU JUNNAH ( PERISAI)
PostedSalam Ramadhan Kareem buat semua..
Kullu am wa antum bikhair..
"Bukanlah puasa itu (hanya) menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya ia juga harus tertahan dari perkara lagha dan lucah. Apabila kamu dimaki atau diperbodohkan, berkatalah AKU BERPUASA"
(riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068)
Apabila kamu dimaki hamun, jangan balas dengan maki hamun.
Apabila kamu diajak gaduh, jangan sahut dengan pergaduhan.
Andai kamu digelar bodoh atau dianggap bodoh, jangan tergesa-gesa mahu menunjuk pandai.
Sebaliknya berkatalah… AKU BERPUASA.
NAH! Hebat ajaran Nabi SAW. Sirahnya nyata berbeza.
Ketika seorang lelaki datang kepada Baginda SAW meminta izin untuk menjadi Muslim yang berzina, apakah anda kira Rasulullah SAW tidak terguris dengan permintaan kurang ajar begitu?
Semasa seorang Badwi datang ke masjid, menjadi tetamu biadab yang kencing di dinding rumah Allah itu, apakah anda kira Rasulullah SAW tiada sifat marah?
Baginda SAW tidak marah bukan kerana tidak mampu marah. Baginda itu seorang yang amat ekspresif. Khutbahnya pernah memerahkan mata kerana begitu memaksudkan apa yang dikata.
Tetapi Baginda SAW itu gagah… gagah yang tulen iaitu pada keupayaan diri mengawal marah.
Sahabat melenting dan mahu membelasah si Badwi itu, namun Baginda menegah.
“Biar dia habiskan urusannya!”, kata Baginda tenang.
Lantas Baginda SAW meminta air dan sendiri membersihkannya.
Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!
Sekali lagi, Baginda SAW mengajar bahawa yang gagah itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah.
Inilah latihan puasa. Sesungguhnya, Ramadhan datang dengan pakej latihan untuk mengajarkan kita PUASA ITU ADALAH PERISAI!.
Post a Comment