Islam, Agama Fitrah

"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,"
QS.Ar-Rum (30) : 30

"Then set your face upright for religion in the right state.the nature made by Allah in which He has made men; there is no altering of Allah's creation; that is the right religion, but most people do not know"
QS.Ar-Rum (30) : 30

Kalam Allah


Sunnah Rasul


Segenggam tabah, segulung ijazah  

Posted by: Ummi Ida in





25 tahun berlalu..
dia kini bergelar seorang doktor..

alhamdulillahi rabbil alamin..DIA yang telah mengizinkan segala2nya..

Anak sulung kami, ASMA' BT KHALIL telah selesai menjalani upacara angkat sumpah untuk menjadi seorang doktor!



Semoga terus cemerlang dlm kerjaya pula. Mudah-mudahan setiap gerak langkah selepas ini menjadi pengabdian diri dan ibadah kepada-NYA.

Memetik tulisan ustaz Hasrizal Jamil di blognya, "Kenapa Mahu Jadi Doktor?"

JIKA KERJA JADI IBADAH

Jika kerja jadi ibadah, Allah adalah ‘CEO’ kita. The unsung hero beroleh quwwah (kemampuan/kemahiran), untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di mata insan.

Jika kerja jadi ibadah, ia jalan Taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, kerja dibuat sebaik yang upaya.

Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan KEPERLUAN, asalkan luas perjalanan mencapai TUJUAN.

Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja.

Teruskan cita-cita kalian menjadi doktor. Ia cara terbesar, kamu zahirkan syukur kepada-Nya.

Kita hamba-Nya, kita Khalifah-Nya.

Jalan kebaikan yang paling utama, adalah pada menjadikan kerja sebagai ibadah. Memberi kebaikan kepada manusia, melalui pekerjaan yang dikurniakan Allah kepada kita. ~ ABU SAIF @ www.saifulislam.com


way to go kakak!!

Tahun Baru  

Posted by: Ummi Ida

Tahun baru hijrah dah bermula..
2011 bakal menjelma..
subhanallah cepat sangat masa berlalu..

dah banyak perkara berubah

Organisasi da'wah yang saya ceburi juga akan mengalami perubahan.
Dulu JIM, tak lama lagi IKRAM..

Apa pun, perjuangan tetap akan diteruskan, insya-Allah..

Petikan ucapan Presiden IKRAM semasa di perhimpunan wanita IKRAM.

IKRAM muncul pada tahap ini bertujuan memperluaskan dakwah, melebarkan pengaruh Islam, membangunkan dokongan dan wala’ (kesetian) ummah kepada Islam dan kepemimpinannya, berdiri tegak sebagai rujukan ummah dan memacu pembaharuan dan perubahan.

IKRAM perlu berada di pusat aksi dan operasi , mengarusperdanakan Islam dalam Negara, membawa agenda perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan rakyat, memacu perjuangan, menyatukan ummah, membangunkan kekuatan, menjana kemajuan, menyebar kemakmuran, mewarnai medan, bersama-sama atau bersendirian mencapai matlamat-matlamat Islam.

Agenda IKRAM ialah membawa perubahan dan membuat pembaharuan. IKRAM bertekad mengubah perjalanan sejarah, merubah reliti sedia ada kepada realiti penguasaan Islam kembali. Dengan itu ummah menjadi ummah terbaik. Negara menjadi Negara termaju dan makmur. Dunia menjadi aman dan sejahtera. Harapan kita tamadun Islam kembali gemilang.

Kita bertekad untuk membangun wahana IKRAM yang releven dan kompeten, memiliki daya juang tahap tinggi untuk memintas cabaran dan merentas jarak perjalanan perjuangan dengan cepat dan cekap.

IKRAM perlu dikembangkan sehingga kewujudannya dirasai, keperluan terhadapnya diakui. IKRAM sebagai wadah kunci yang menjadi rujukan, wadah yang meyakinkan , membuka ufuk-ufuk harapan, kemulian, kesatuan dan keagungan ummah.



Semoga perubahan ke tahun baru membawa berjuta kebaikan kepada kehidupan saya dan keluarga..Ameeen

QURBAN  

Posted by: Ummi Ida


Lama tak dapat update blog..

Tapi pagi Jumaat ni, dengar sesuatu dari Radio IKIM tentang QURBAN dan pengorbanan

Apa yang diajarkan oleh peristiwa QURBAN Nabi Ibrahim..

NABI IBRAHIM dengan keikhlasannya;
NABI ISMAIL dengan ketaatannya;
STI HAJAR dengan tawakkalnya;
dan SYAITAN dengan hasutannya..!


Hidup perlukan pengorbanan..baru BERMAKNA..
dan itulah panduannya..
biar ikhlas, lakukan semata-mata sebagai tanda taat kepadaNYA, tabah dan tawakkal
mengharap sepenuhnya hanya kepada DIA.
Tapi jangan lupa syaitan yang sering akan menggoda!

MAHER ZAIN in Malaysia!  

Posted by: Ummi Ida in



MAHER ZAIN 'Save the Soul' in Malaysia.


Superstar MAHER ZAIN di Malaysia?

Namanya meniti dari bibir ke bibir.. berjuta peminat meng'upload' salah satu lagunya berjudul InsyaAllah dendangannya.. Bahkan anak Malaysia usia 5 tahun pun meminati dan mampu menghafal lagunya....

Perjalanan hidupnya dalam pencarian makna hidup membuatkan dia menulis lagu.
"I want people to be touched by what I have been touched before".. Ikhlasnya!, menulis lirik lagu dari hati!

Itu yang lebih menarik di hati saya tentang Maher Zain dan lagu-lagunya.

Malah tak terkejutkah kita kalau tiba-tiba seseorang berkata :.. "lagu-lagunya mengingatkan saya kepada Allah" sedangkan yag berkata tersebut hanyalah seorang wanita yang nampak pada zahirnya bukanlah pencinta agama.. 'auratnya masih banyak yang terbuka'. Malah ramai yang saya temui 'tersentuh' dengan lagu-lagunya!

Maher zain satu fenomena? ye mungkin..Apatah lagi Maher Zain di Malaysia untuk show case SAVE THE SOUL..
YES! let's save our soul, their soul! By turning back to Allah.

Seperti lirik lagunya 'InsyaAllah':

Turn to Allah
He`s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO Ya Allah
Guide my steps don`t let me go astray
You`re the only one that showed me the way,
Showed me the way 2x
Insya Allah3x
Insya Allah we`ll find the way


Bak kata adikku En Adzhar Maludin, director dan orang kuat di sebalik kunjungan Maher Zain ini : It's all for the ummah..... Khair!!

BIG credits, alfun mabruk buat adikku (duduk sebelah kanan Maher Zain)
Thumbs up Bro!!

Press conference Maher Zain sejurus tiba.

Thank you Allah!

Untuk Yang Bakal Bergelar DOKTOR!  

Posted by: Ummi Ida in




Salam~

Suka sangat ingin kongsikan satu pesanan bak mutiara berharga nukilan Prof MadyaDr Harlina Halizah Hj Siraj (HUKM).

Ayuh selami pesanannya:

Salam Syawal,

Khusus buat:

· Anak-anak yang bergelar pelajar perubatan ( di mana jua anda berada)

· Ibu dan ayah kepada anak-anak di atas

Sedikit pesanan ini dinukilkan oleh seorang yang pernah menjadi pelajar perubatan (1986-1991), sudah bergelar doktor selama lebih 19 tahun, menjadi pakar O&G dan pendidik kepada ribuan pelajar perubatan selama 13 tahun. Namun belum berpeluang menjadi ibu kepada seorang pelajar perubatan lagi setakat ini.

Anak-anakku,

Kalian sebenarnya bertuah dipilih Allah SWT mempelajari satu bidang yang amat besar faedah dan manfaatnya buat manusia dan dunia. Apapun yang mendorong kalian membuat keputusan menjadikan bidang ini pilihan, kalian sudah sampai di sini! Betapa ramai rakan kalian yang mengidamkan kerusi yang kalian duduki sekarang ini.

Harapnya, dorongan itu bukanlah semata-mata mahu mencuba nasib, memenuhi hajat dan hasrat kedua ibu bapa dan keluarga yang mahu seorang bergelar `Doktor’ dalam salasilah keturunan, ataupun ingin sentiasa bersama dgn rakan karib lain yang kebetulan juga mendapat tawaran yang sama!

Melihat betapa berlumba-lumba kalian merebut tempat di sekolah perubatan, rasanya seperti ada kempen ` Satu Keluarga Seorang Doktor’ lagaknya.

Jangan kalian terkejut nanti – dengan realiti pengorbanan yang mesti kalian lalui.

Perubatan adalah satu lapangan yang perlukan komitmen pembelajaran sepanjang hayat. Kalian sendiri yang perlu mencetus keghairahan mahu menuntut ilmu, bukannya hanya berharap dan bergantung sepenuhnya kepada tenaga pendidik yang menunjuk ajar. Kalian akan mulai mendengar perkataan ` self-directed learning- SDL’, student-centred education, life-long learning, community-based learning, inter-professional learning dll.

Pengajar kalian bukan hanya professor dan pensyarah perubatan, malahan yang bergelar pesakit itulah yang paling banyak mengajar dan memberi tunjuk ajar. Para jururawat adalah mentor yang paling berpengalaman dan perlu diberi penghormatan.

Yang paling utama, akhlak kalian – menjadi pembeza utama antara pengamal perubatan yang mulia dan doktor yang angkuh. Bertuahlah bagi kalian yang sememangnya sudah berbekal dgn didikan sempurna, penuh budi bahasa, tata tertib dan sopan santun yang tinggi semenjak dari rumah lagi. Malanglah kalian yang serba kekurangan dalam aspek ini, sekalipun kalian begitu cerdas mengumpul deretan `A+’ dalam transkrip keputusan peperiksaan saban semester.

Untuk para ibu dan ayah kepada anak-anak yang bergelar pelajar perubatan,

Mohon dipastikan kalian sudah menyediakan anak-anak kalian dengan baik dan sempurna – terutamanya dalam aspek rohaniah dan akhlaqiah mereka. Mereka akan menjadi doktor perubatan – bukan calang-calang profesyen! Pastikan mereka menjadi pengamal perubatan yang tawadhuk dan sentiasa berhubung erat dengn Rabb.. Selitkan doa yang tidak pernah kunjung padam setiap masa dan ketika, moga Allah SWT memberi bimbinganNya buat anak-anak ini.

Sekiranya kalianlah menjadi SEBAB utama anak-anak berada di sekolah perubatan hari ini, sedangkan itu bukan keinginan dan minat mereka sendiri, bersedialah untuk meminta maaf kepada mereka – terutamanya jika mereka akan berhadapan dgn kesukaran dan keperitan memenuhi hajat dan cita-cita kalian itu. Sokong dan dokonglah mereka sehingga ke akhir nanti – kerana cubaan dan dugaan yang perlu anak-anak ini hadapi bukanlah setakat semasa dalam latihan sahaja, malahan yang lebih mencabar adalah ketika terpikul di bahu mereka tanggungjawab dan amanah yang berat apabila bergelar doktor nanti!

InsyaAllah, kalian akan sentiasa dilindungi Allah SWT dari segala bencana selagi mana penggantungan hanyalah kepada Allah semata-mata.

Dr.Har


Khas buat anak-anakku Asma' dan 'Aisyah..

Amanah menjadi doktor itu adalah ladang untuk BERAMAL. Tanamlah benih kebaikan, segera...!. Curahkan semua kekuatanmu. Tetap tabah! Kita tidak punya banyak waktu. Hidup hanya sekali ini. Jgn takut lelah atau kehabisan harta dan tenaga. Kebahagiaan justeru adanya dlm perjuangan . Syurga Firdaus itu tertinggi, tidak mungkin boleh diraih dgn jalan biasa. Berjuanglah, melalui karier kalian.. insya Allah, namamu akan terukir indah di Taman2 Syurga.

Allahu rabbi!



Hari Raya FITRAH  

Posted by: Ummi Ida

Salam kesejahteran buat semua pembaca..


Eid Mubarak..
Selamat Hari Raya Eidul Fitr..mohon maafkan segala salah dan silap ye..
Hari-hari bernama Syawal masih lagi berbaki..Syawal untuk merayakan kemenangan mengembalikan FITRAH diri.

Pulang bercuti dari beraya sakan kat Penang, Kedah dan Seremban, saya membaca satu tazkirah ringkas tapi penuh bermakna di bawah ini :

"Jika Ramadhan adalah tazkiyyatun nafs (pembersihan hati) maka Syawal adalah taqwiyyatun nafs (penguatan hati). Teguhkan terus hati yg suci di bulan Syawal ini hingga kita benar2 hidup di atas jalan FITRAH, pada jatidiri yg murni. Dekatkan selalu FITRAH itu pada Allah ANNUR Sang Maha BerCahaya, agar ia hidup menjadi lentera hati dan pikiran, menerangi setiap jalan yg akan ditempuh."- Pak Legisan Sukimin, Trainer ESQ165

Ya! Selesai didikan jiwa selama sebulan di bulan Ramadhan, sepatutnya kita mampu meneruskan kehidupan dengan bimbingan NUR ILAHI.. Sepanjang Ramadhan jiwa yang telah DIDEKATKAN dengan Allah biarlah terus dekat dan mendekat kepadaNYA..

Al Quran mengingatkan kita sesungguhnya.

“ Allah adalah cahaya seluruh langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah tempat pelita yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu berada dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang penuh berkah, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api (lantaran minyak itu sangat bening berkilau). Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis). Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (An Nur: 35)

Sungguh Maha Benar Allah Yang Maha Besar.


Kita bertakbir di pagi raya..Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar..
Allah Maha Besar dengan segala ciptaan-Nya meskipun kebesaran itu tidak pernah ditakbirkan oleh siapapun.
Sungguh Allah tidak perlukan dengan takbir-takbir itu, akan tetapi dimaksudkan, di hari kemenangan ini supaya Allah dirasa Besar di dalam dada orang-orang beriman yang telah melaksanakan tazkiyah sebulan penuh di bulan suci Ramadhan.


Ketika hati telah menjadi putih bersih. Ketika jiwa telah kembali kepada FITRAHnya, maka takbir disemaikan di dalamnya. Dengan itu supaya Allah benar-benar terasa besar di hati mereka sehingga dunia dan isinya menjadi kecil. Kehidupan yang melalaikan ini tidak akan mengusik mereka lagi meski orang-orang beriman itu harus selalu bergelumang dengannya.

Wahai diri, boleh gembira di hari raya ini....tapi ingat..

FITRAH ITU HARUS TERJAGA SAMPAI BILA-BILA!

Wahai FITRAH..kembali lah pada diri..


Indahnya Munajat  

Posted by: Ummi Ida in

Mengambil kesempatan masih berada di awal Ramadhan walaupun hari ini telah seminggu berpuasa Ramadhan 1431H, ayuh mengaut sejuta kerahmatan kurniaan Allah ARRAHMAN ARRAHEEM..

Terjumpa sebuah munajat yg sungguh indah..
Ayuh.. kita lantunkan dan hayati..

Perkenankanlah aku mencintaiMu semampuku....

Rabbii, Berbilang detik, minit, jam, hari,, bulan dan kemudian tahun berlalu , aku berusaha mencintaiMu dengan cinta yang paling utama, tapi...
aku masih juga tak menemukan cinta tertinggi untukMu Allahu Rahiim, Ilaahi Rabii

Perkenankanlah aku mencintaiMu...semampuku


Dengan segala kelemahanku Ilaahi,

Aku tak sanggup mencintaiMu dengan kesabaran menanggung derita umpama Nabi Ayyub, Musa, Isa hingga Al Musthafa

Karena itu izinkan aku mencintaiMu melalui keluh kesah pengaduanku padaMu atas derita batin dan jasadku, atas rasa sakit dan ketakutanku

Rabbii,

Aku tak sanggup mencintaiMu seperti Abu Bakar, yang menyedekahkan seluruh hartanya

Atau layaknya Utsman yang menyerahkan 1000 ekor kuda untuk syiarkan deenMu.

Izinkan aku mencintaiMu, melalui sedikit sedeqah dan infaq harta yang terhulur pada tangan-tangan kecil dan mereka yang meminta dan memerlukan.

Ilaahi,

aku tak sanggup mencintaiMu dengan khusyuknya shalat salah seorang shabat NabiMu

hingga tiada terasa anak panah musuh terhujam di kakinya.

Karena itu Ya Allah, perkenankanlah aku tertatih menggapai cintaMu dalam shalat yang coba kudirikan terbilang-bilang

meski ingatan kadang melayang ke berbagai permasalahan dunia



Ya rabbii, aku tak dapat beribadah ala para sufi dan rahib,

yang membaktikan seluruh malamnya untuk bercinta denganMu.

Maka izinkanlah aku untuk mencintaimu dalam satu-dua rakaat lailku.

Dalam satu dua sunnah nafilahku.

Dalam desah nafas kepasrahan tidurku....



Ya Maha Rahmaan, aku tak sanggup mencintaiMu bagai para al hafidz dan hafidzah,

yang menuntaskan kalamMu dalam satu putaran malam.

Perkenankanlah aku mencintaiMu, melalui selembar dua lembar tilawah harianku.

Lewat lantunan seayat dua ayat hafalanku..



Yaa, RahiimAku tak sanggup mencintaiMu semisal Sumayyah,

yang mempersembahkan jiwa demi tegaknya DeenMu

Seandainya para syuhada,

yang menjual dirinya dalam jihadnya bagiMu.

Maka perkenankanlah aku mencintaiMu

dengan mempersembahkan sedikit bakti dan pengorbananku untuk dakwahMu.



Maka izinkanlah jua aku mencintaiMu

dengan sedikit pengajaran bagi tumbuhnya generasi baru



Allahu Kariim, aku tak sanggup mencintaiMu di atas segalanya,

bagai Ibrahim yang rela tinggalkan putra dan zaujahnya,,

Maka izinkanlah aku mencintaiMu di dalam segalanya.

Izinkanlah aku mencintaiMu dengan mencintai kelaurgaku,

dengan mencintai sahabat-sahabatku,

dengan mencintai manusia dan alam semesta


Allaahu Rahmaanurrahiim, Ilaahi Rabbii

Perkenankanlah aku mencintaiMu semampuku

Agar cinta itu mengalun dalam jiwaAgar cinta ini mengalir di sepanjang nadiku!

AMIIN AMIIN AMIIN YA RABBAL 'ALAMIN

HIDUPKAN Ramadhan, Ramadhan HIDUPKAN kita  

Posted by: Ummi Ida in



Ramadhan 1431H hanya beberapa hari sahaja lagi akan tiba.
Sudahkah kita siap untuk menyambutnya?

Mental?
Ilmu? ( ulangkaji pelajaran dan hal-hal berkait tentang ibadah Ramadhan)
Harta? (untuk sedekah dan infaq Ramadhan)
Emosi? (Rasa gembira, teruja nak sambut Ramadhan)
Spiritual? (Dah mula start-off dengan pertingkatkan ibadah spt solat, tilawah dan tadabbur Quran dan lain-lainnya)

Rasulullah s.a.w. menggembirakan para sahabatnya dengan sabda baginda:

Ertinya:
"Sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci semua pintu neraka, dibelenggu semua syaitan. Di malamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperolehi kebajikan pada malam itu berertilah diharamkan baginya segala kebaikan untuk dirinya."

Terkadang-kadang Rasulullah s.a.w. mengucapkan kepada para Sahabat ucapan yang bermaksud:

"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan Penghulu segala bulan , maka selamat datanglah kamu kepadaNya. Maka telah datang bulan puasa membawa segala macam keberkatan. Oleh yang demikian muliakan tetamu yang datang itu dengan seberapa baik."

Pohon taqwa hasil Ramadhan yang mungkin telah berjaya kita dapatkan hasil Ramadhan terdahulu mungkin telah kering kontang, berguguran daunnya dek dosa dan maksiat yg dilakukan sepanjang tahun.
Kini akan tumbuh kembali..mengeluarkan buah dan hasilnya dgn izin Allah
Bekal seorang mukmin itu sepanjang tahun hingga bertemu dengan Ramadhan berikutnya
KITA HIDUPKAN RAMADHAN, RAMADHAN AKAN MENGHIDUPKAN JIWA-JIWA DAN TELAH MATI SEBELUM INI!

Jom Mulakan.. niatkan : PUASA DENGAN PENUH KEIMANAN DAN PENUH REDHA ~
Bisikkan “ Alhamdulillah, Allahu Akbar, aku akan berpuasa kerana mentaatiMU ya Allah”

Jom Masuk kepompong Ramadhan tahun ini dgn lebih bersedia..
agar keluar nanti dari kepompong ini kita semua menjadi rama-rama yang sangat cantik..

SALAM RAMADHAN KAREEM BUAT SEMUA!

HADIAH SEBUAH PERKAHWINAN ~ 'MEREKA yang teristimewa'  

Posted by: Ummi Ida in



Tanggal 30 Jun tarikh cukup bermakna..
30 Jun 2010 genap 25 tahun ulangtahun perkahwinan saya..dah jublee perak..dah suku abad..!

Apa hadiah paling berharga dari sebuah perkahwinan?.

Tentulah kebahagiaan dan ketenangan.
Alhamdulillah..
Berkahwin bukan sekadar untuk menerima tetapi kerana mahu memberi. Memberi kasih sayang, memberi perhatian, memberi nafkah, memberi kebaikan seikhlasnya walaupun kecil.
Bersyukurlah..

Terima kasih kepada mereka yang teristimewa yang telah memberikanku makna kpd sebuah perkahwinan, kekeluargaan dan erti kebahagiaan..

Antaranya, inilah mereka:

Gambar terbaru bersama suami..dialah rakan dan teman. Pengkritik dan pembimbing. Semakin hari semakin sayang...

Sempena anniversary jubli perak, kami makan-makan kat luar. Tak payah lah candle-light dinner berdua je...kami bawa anak-anak sekali..
Siap kena interview oleh mereka : "Apa azam selepas ni.?" cewah..
Dan siap dapat mutiara hikmat dan nasihat lagi daripada mereka.. Amboii..

Anak-anak perempuan yang dah pun sama besar..



dan anak-anak lelaki pelindung kami..

Kelima-lima mereka.. Qurrata a'yuni wa lil muttaqina imama.. Ameeen ya Rabb..

Sebuah video dihadiahkan pula oleh anak-anak KBM KL. syukran jazilan!
Doa ummi untuk kejayaan anak-anak semua tak kira di mana..

http://www.facebook.com/home.php?#!/video/video.php?v=129762910373373

Semoga cinta dan kasih sayang yang sudah terbina akan terus mekar kerana ia dibina
atas rasa KEHAMBAAN kepada yang menciptakan kasih sayang dan perasaan cinta itu.
Hamba yang sering memikirkan peranan, dan gemar memberi kebaikan.

Ya Allah ya Rahman.. indahnya kasih sayang Mu.. indahnya Deen MU..
Terima kasih Allah!

Sanah Helwah ~ Harga sebuah UMUR  

Posted by: Ummi Ida



Sepanjang bulan Jun setiap tahun, kami sekeluarga akan meraikan TIGA ulangtahun kelahiran.
Alhamdulillah.. banyak mudahnya.. sekali gus boleh celebrate serentak. Jimat masa dan belanja.

Bermula dgn tanggal 5 Jun..
Alhamdulilllah..tahun ni Allah izinkan anak-anak semua berkumpul di rumah (bercuti semester/sekolah) untuk raikan birthday ummi nya.. Seronok tak terkira.....
Sempat pulak anak-anak plan satu surprise..

Taadaa..
Di tengah-tengah malam saat tanggal 5 Jun menjengah...tiba-tiba ada kek siap terhidang di ruang tamu rumah...

Gembira tak terkata.. senyum sampai telinga..

Pagi-pagi 5 Jun bergerak ke Masjid Besi, Putrajaya untuk program Keindahan Bersama Mu (KBM) untuk remaja..

Malam nya.. satu surprise lagi..
Kali ni oleh anak-anak dari keluarga besarKBM.


ALHAMDULILLAH.. syukran jazilan to all..

Dirai dan meraikan:
tak lupa nak rakamkan ucapan..

15 Jun ~ sanah helwah ya bunayy..Anaknada Ammar 16 tahun
22 jun ~ sanah helwah buat suami tersayang..

Ana uhibbukum..

Ada pesan besar untuk semua yang meraikan birthday Jun ini.

Harga sebuah UMUR~

Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah berkata:
“Wahai anak Adam siangmu adalah tamumu maka berbuat baiklah terhadapnya. Karena sungguh jika engkau berbuat baik kepada niscaya dia akan pergi dgn memujimu. Dan apabila engkau berbuat buruk terhadap maka dia akan pergi dgn mencercamu begitu pula dgn malammu.”
“Wahai anak Adam injaklah bumi ini dgn kakimu. Sungguh sekecil apapun dia pasti bakal menguburmu.
Sesungguh engkau itu senantiasa sedang mengurangi usiamu semenjak engkau dilahirkan dari perut ibumu.”

'Isy 'azizan aw..~- HIDUP MULIA atau..  

Posted by: Ummi Ida


' Isy 'azizan aw mut syahidan..



HIDUP MULIA ATAU MATI SYAHID..
itulah semangat yang tetap berkobar dlm jiwa mereka.. Konvoi pelayaran Life Line For Gaza (LL4G) yang diserang oleh rejim Zionis Israel pada 31 mei 2010, walaupun misi tak mampu disempurnakan..

Misi menyampaikan bantuan digagalkan oleh musuh laknatullah..

Kita di Malaysia hanya mampu mendoakan agar mereka selamat kembali ke tanah air.
Perjuangan belum selesai..

Duhai saudara-saudara kami di Palestin..Kami tetap bersamamu!!

Bantahan aman dan Penyerahan memo ke kedutaan US di Malaysia 1 Jun 2010.

Maka, Hidup Mulia atau Mati Syahid bukanlah pilihan. Tapi 2 hal yang harus dilakukan bersama.
Berusaha sekuat tenaga,
berbuatlah sebaik mungkin menuju hidup mulia hingga syahid menjemput kita.
.. Allahu Akbar!

Pengalaman baru..rakaman TV  

Posted by: Ummi Ida



Belajar dan terus belajar.. itulah kehidupan..

Pertama kali bersama dengan sebuah team rakaman TV dari RumahKaryaCipta. Bossnya Puan Erma Fatima.
Rakaman untuk sebuah produksi program TV.
Best juga pengalaman baru ni..

Wah.. dah teruja nak mulakan..

cakap tanpa henti.. semoga keluar yang baik-baik dan benar .. Amin


Alhamdulillah.. gembira bila selesai.. Dengarnya lepas tu mereka nak ke rumah Ustaz Haron Din pula untuk tujuan yang sama..

Juga turut hadir dan excited, seorang jurugambar amatur. ..




Tunggu ya..akan ke udara rancangan ADAM DAN HAWA di kaca TV anda..
petang-petang hari di saluran RTM, insyaAllah..

Happy Birthday to all of U!  

Posted by: Ummi Ida



Indah sungguh didikan Rasullullah..

Macamana nak memelihara dan
memperkukuhkan ikatan cinta kasih
ialah memberikan UCAPAN SELAMAT..

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Barangsiapa mengucapkan selamat kepada saudaranya ketika saudaranya mendapat kebahagiaan nescaya Allah menggembirakan pada hari kiamat." (HR Tabrani).
Rasulullah SAW terus mengajarkan hal tersebut seperti dicontohkan seperti berikut:

Berkenaan dengan kelahiran anak: "Semoga anda diberkati atas pemberianNya itu dan bersyukur dengan Yang Memberi Rezeki mulai dari kelahiran dilimpahi dengan kebaikan hingga hari tuanya." (HR Husein bin Ali RA)

Apabila kembali dari menunaikan haji: "Semoga Allah menerima hajimu, mengampuni dosamu, dan menggantikan nafkahmu.” (HR Ibnu Sunni dari Ibnu Umar RA)

Bila salah seorang saudara menikah : "Mudah-mudahan Allah mengekalkan keberkatan atasmu dan mengumpulkanmu berdua di dalam kebaikan." (HR Abu Daud dan Tirmizi dari Abu Hurairah)

Ucapan Selamat Aidil Fitri : Semoga Allah menerima amal kita, membalas kebaikan saudara dengan ucapan selamat: "Semoga Allah memberkatimu, keluargamu, hartamu, dan mudah-mudahan Allah membalas kebaikan kepadamu." (HR Nasa' dari Ibnu Majah)

Nak ambil kesempatan di sini nak ucapkan HAPPY BITRHDAY to Anakanda 'Atikah Khalil.. mencapai umur 19 tahun 28 April ni..he he.. dah tua dan semoga bertambah solehah..Amiiin.. Ummi sayang Tikah..

Juga kepada team KBM Kuala Lumpur, yang akan menyambut ulangtahun kelahiran pada 6 mei nanti.
Juga kpd Kak Yong, Kak Nina bakal menginjak usia bulan Mei juga.

Ada lagi.. anda juga?


Kalau gitu.. ucapan untuk semua yang bakal menyambut ulangtahun kelahiran di bulan April dan Mei ini :






Pengalaman..  

Posted by: Ummi Ida



Lama tak dapat update blog.
Banyak pula peristiwa yang mengisi waktu yang berlalu.

Menjengah ke bulan April, terasa masa berlalu pantas.
Anak-anak yang jauh terpisah berada di medan perjuangan masing-masing untuk menuntut ilmu, masing-masing menghantar SMS yang lebih kurang berbunyi : "Ummi doakan ye.. esok exam ni.."
Lalu si ummi akan membalas.. "U will do fine.. chaiyok2.. Maat taufiq wan najah. Amin"

Dari pertengahan bulan Mac lepas hingga ke saat coretan ini, ingin rasanya mengimbas beberapa peristiwa yang telah di lalui.

Pengalaman 1 : Bersama anak-anak remaja puteri di sebuah pusat perlindungan dan pemulihan. Bertemu dengan sekumpulan hampir 80 orang anak remaja. Berkongsi tentang satu pengharapan besar dengan sesi penyampaian bertajuk " Biarkan Aku Hidup".
Membawa mereka menginsafi dgn apa yang berlaku sehingga mengandung anak luar nikah dan cukuplah setakat apa yang terjadi. Jangan pula menambah kepada statistik kes buang bayi yang semakin berleluasa. Cukuplah dosa yang terpalit.. TAUBATAN NASUHA YA ALLAH!

Pengalaman 2 : Syukurnya, dengan izin Allah, program di Penjara Wanita Kajang baru-baru turut disertai oleh 8 orang penghuni belum Islam.

"Ustazah, I kan selalu mintak pada cikgu( warder) untuk datang ini program.. tapi susahlah..
Seorang yang lain pula berkata; " Ustazah,I like that song ( Demi Matahari)...very touching.."
Harap dapat jumpa mereka lagi di minggu depan.. Chong, Yap, Nyen dan yang lainnya.

Pengalaman 3 : Di penjara itu juga berpeluang mendengar perkongsian seorang penghuni yang telah menjalani hukuman sebat syariah kerana melahirkan anak luar nikah.
Cerita yang tulus dari hati "M" menginsafkan kami semua.

" Saya redha dengan hukuman tersebut. Sepanjang hukuman dijalankan, saya hanya ingat Allah.
Tidak menyakitkan, tidak luka tetapi menginsafkan.."

Pengalaman 4 : Di hujung minggu baru lalu, alhamdulillah berpeluang handle beberapa slot penting dalam program KBM di sebuah sekolah nun jauh di hujung negeri Selangor.

Di atas sehelai kertas, membaca satu pengakuan jujur seorang pelajar :
"Saya dah tak suci lagi, saya dipaksa melakukannya."
Sebagai ummi kepada anak-anak ini, sebelum program berakhir, saya berjumpanya, mendengar ceritanya. Akhirnya kami berpelukan, dia menangis semahunya, kelu tanpa sepatah yang terucapkan, saya hanya mampu berkata:
"Fight it!, fight it after this!"

Banyak lagi rupanya kerja yang mesti dilakukan.
Seorang sahabat (ustaz) memberikan peringatan..kalau nak jadi doktor jadilah doktor dan juga pejuang
kalau jadi ibu atau ayah jadilah ibu ayah yang juga pejuang..kalau seorang guru pastikan guru juga adalah pejuang..
Membawa Islam ke mana sahaja. Kita tak boleh duk rehat.

Lihatlah sejarah. Seorang panglima besar, sahabat Rasulullah SAW bernamaSaad bin Abi Waqqas telah diperintahkan oleh Khalifah Utsman bin Affan sekitar tahun pada tahun 616 M.
Perintah besar untuk membawaIslam ke negeri China. Itulah ekspidisi jihad dan perjuangan.
Inilah hasilnya.


Dan kita semua adalah penerusnya! Tak kira di mana dan siapa kita..

SAKITKAH MASYARAKAT KITA?  

Posted by: Ummi Ida in

Kes adik Syafiah Humairah Sahari hanya satu peristiwa sedih dari banyak peristiwa sedih yang banyak berlaku dalam masyarakat kita sekarang.
Kita akan terus bertanya.. kenapa dengan masyarakat ini?
Makin sakitkah masyarakat ini? Sakitkah kita yang menganggotai masyarakat ini?
Jika beginilah seterusnya cerita masyarakat kita, apakah akan terjadi kepada masyarakat ini? 5 tahun dari sekarang? 10 tahun dari sekarang?
Apakah perubahan yang mampu kita lakukan? Benar-benar kita boleh lakukan untuk menghindar racun masyarakat ini?
Ana yakin ramai yang kita mahu lakukan sesuatu tetapi soalnya bagaimana?
Bagaimanakah agaknya untuk membawa masyarakat kembali menemukan penawar kepada semua racun dan penyakit ini
iaitu kembali kepada kehidupan beragama.

Keluarga Banduan : Terhukum Di Luar Penjara!~Yang melakukan kesalahan ialah suami. Tetapi masyarakat menghukum anak dan isteri mereka. Malah, kadangkala anak dan isteri dihukum dengan hukuman yang lebih berat dari apa yang diperolehi oleh [ayah dan] suami mereka.

Betapa tidak, jika si bapa yang dalam penjara ada tempat tinggal dan diberi makan empat kali sehari, isteri dan anak-anak di luar belum tentu memiliki tempat tinggal yang selesa dan menikmati makanan secukupnya. Jika si bapa dihina oleh masyarakat, mereka tidak mendengarnya kerana mereka berada di sebalik tembok penjara. Tetapi, isteri dan anak-anak yang tidak bersalahlah yang terpaksa menerima segala kejian dan tekanan emosi tersebut.

Sebagai ketua keluarga yang baru, isteri banduan perlu bekerja untuk menyara keluarga;
perlu mencari penjaga anak sementara mereka keluar bekerja; terpaksa berhadapan dengan pandangan buruk dan kata nista masyarakat;
kehilangan sokongan keluarga orientasi dan mertua yang membuang mereka;
dan secara peribadi, mereka kehilangan sokongan perasaan dari pasangan hidup yang kini telah dipenjarakan. Beban ini amat berat untuk dipikul oleh seorang wanita lalu akan hilanglah pertimbangan. Tanpa pegangan agama yang kuat, pilihan dan keputusan sering tersilap.

Sebagai ahli masyarakat Islam yang diumpamakan sebagai satu tubuh badan yang mana apabila satu anggota merasa sakit
maka seluruh badan turut merasakan penderitaan itu. Justeru, apa gerak balas masyarakat terhadap nasib keluarga banduan ini?

Betulkanlah sikap masyarakat terhadap mereka. Kurangkan menghukum, banyakkan membantu.


Pengalaman peribadi, ~ Baru-baru ini saya dihubungi dan bertemu semula dengan dua orang banduan wanita yang telah bebas.
Hikmah terbesar yang mereka pelajari semasa dipenjarakan dahulu adalah hidup ini apa pun perlu kembali kepada agama.
DeenulLah ini adalah penyelamat dan bekalan sepanjang mengharungi kehidupan sementara ini.
Lalu kitalah sebenarnya yang patut menunjukkan jalan yang selamat itu!..


Apa Yang Sebenarnya Dicari ?  

Posted by: Ummi Ida in

Apa khabar iman kita semua hari ini?

Di pagi Jumaat ini.. ku risik-risik hati:

apa yang dicari dalam hidup ini?

-kekayaankah?
-kesenangankah?
-kecantikankah?
-kebahagiaankah?
-atau ketenangan hati yang hanya dapat diperoleh dengan keredaan dan ketaqwaan kepadaNya?

kalau berbicara tentang cinta, cinta siapa yang dikejar sesungguhnya?
adakah cinta kepadaNya sudah mencukupi?


Terasa hidup ini semakin singkat. Saat dan waktu yang telah berlalu tak boleh diputar.

Lalu ku tanyakan lagi..untuk apakah hidup di dunia ini?

Kehidupan yang bagaimanakah yang dicari? Adakah sekadar kemewahan dan keseronokan?

Untuk jawapan yang tepat dan benar, inilah asal tujuan manusia ini diciptakan.
Inilah jawapan dari Allah:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (Az Dzaariyat – 56)

Hidup di dunia hanyalah sementara, yang kekal di akhirat.

Allah SWT terus memperingatkan:

"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?"


Tidakkah kamu mahu berfikir??
Tidakkah kamu mahu berfikir??

Dunia hanyalah tempat persinggahan untuk menambahkan bekalan bagi meneruskan perjalanan yang masih jauh... iaitu akhirat.

Semoga diriku akan terus diperingatkan..
agar menjadikan segalanya sebagai sejadah pengabdian kepadaNYA!






Tempatmu di syurga Firdausi  

Posted by: Ummi Ida in

Kes buang bayi semakin menjadi-jadi..Mana perginya nilai kemanusiaan, keprihatinan dan kasih sayang?? Apakah manusia sudah jatuh maruahnya ke taraf bina***g?.. sedangkan binatang pun sayangkan anaknya!


Inilah keadaan mayat bayi perempuan ketika ditemui yang masih bertali pusat. Penuh dihurungi semut. Ditemui di atas lantai di tepi pintu pagar Masjid Jamek Kampung Permatang Duyong, Melaka beberapa hari lalu.

Dosa itu milik 'ibu dan bapanya' tetapi kenapa mesti bayi ini yang menjadi mangsanya?

Naluri keibuanku tersentuh. Sedih, sedih, sedih.
Pada masa yang sama, terasa semakin berat amanah yang terpikul untuk menyusun langkah untuk mendidik, membenteras, membimbing dan memulihkan..
Itu tugas kita semua sesungguhnya.

"Wahai si comel yang tidak berdosa, walaupun tempatmu di dunia ini hanyalah di tepi pagar masjid, namun di akhirat nanti tempatmu pasti di syurga firdausi.

Ketika itu 'ibu dan bapamu' tidak boleh ‘cemburu’ , kalau hanya boleh melihat kelibatmu …DARI CELAH PINTU NERAKA!"

YA ALLAH..Ampuni kami semua yang sering lalai dan leka.

Sembang Sempoi di Karnival Buku MPH 2010  

Posted by: Ummi Ida in

Sembang sempoi.. memang sempoi pun.. sebab bagi talk macam nak jual ubat.. macam DJ pun ada..

Alhamdulillah, apa pun syukur..berpeluang dapat sembang-sembang bersama pengunjung Karnival Buku MPH 2010 di Stadium Malawati Shah Alam jam 8.20 malam 30 Jan 2010. Lebih kurang sejam penyampaian sambil berinteraksi dengan mereka. Tajuk : Sembang Sempoi Bersama Wanita JIM KL : "Memelihara Mutiara Kasih."

Two Atikahs menemani, seorang jaga laptop, seorang jurufoto.
Turut meramaikan pengujung karnival yang tak berapa nak ramai tu ialah anakanda 'Ammar, Nasyitah IIC, sahabat seperjuangan di pentas Karnival ni, Susilawati, suami dan keluarga.

Yang ni, Atikah Hatta, tolong klik-klik.

Yang ni, Atikah Khalil.. jurufoto. Tapi siapa pulak yang snap gambar dia ni?



Kali ini tak bolehlah nak ceramah sangat. Kena interaksi.. nama pun sembang. Banyak tengok video.

Beberapa kajian kes gejala sosial remaja dikongsikan lalu ..

Soalan :"Apa yang akan Tuan lakukan sekiranya ini terjadi pada Tuan..?"
Jawapan :" Tak boleh bagi kebebasan sangat pada anak-anak.. "

Isu Kalimah Allah, Jangan Emosi, letakkan sikap yang BETUL.  

Posted by: Ummi Ida

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)
5 Januari 2010

Isu Kalimah Allah Sangat Sensitif
1. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009, membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Catholic Herald Weekly, telah membangkitkan sentimen keagamaan. Keputusan itu juga bercanggah dengan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam yang telah digazetkan di sepuluh (10) negeri.

2. Oleh kerana keresahan ini timbul ekoran keputusan mahkamah, JIM berpandangan penyelesaiannya juga harus dicari melalui proses undang-undang. JIM menyokong usaha segera kerajaan untuk merayu dan untuk memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

3. JIM menyeru semua pihak supaya memberi peluang proses undang-undang (due process) berjalan tanpa tekanan mana-mana pihak. JIM juga menyeru semua pihak agar memastikan respon kepada keputusan mahkamah ini tidak menjerumuskan Malaysia kepada kekacauan di antara penganut-penganut agama.

4. JIM juga menyeru pihak agama Katolik untuk berhati-hati dalam menggunakan kebenaran mahkamah ini, kerana umat Islam amat sensitif jika nama Allah dikaitkan dengan perkara yang tidak selayaknya bagi Allah. Isu ini jauh lebih sensitif dari isu kartun Nabi Muhammad yang disiarkan oleh media di Denmark dahulu.

5. JIM berharap isu ini diselesaikan dengan segera supaya ia tidak membawa kepada polarisasi di kalangan rakyat Malaysia, hingga memberi kesan jangka panjang.

6. JIM juga berharap satu lagi pihak, difahamkan Sidang Injil Borneo, yang akan membuat tuntutan yang sama di mahkamah supaya menangguhkannya sehingga kes yang ada sekarang selesai.

Zaid bin Kamaruddin
Presiden
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

JAN 2010 ~HARI-HARI YANG BERLALU  

Posted by: Ummi Ida in

Salam buat semua pengunjung dan pembaca setia..

Apa khabar? Bagaimana iman anda?

Meniti hari demi hari di bulan sulung tahun 2010, tak sedar sudah lebih 2 minggu berlalu.. Apa yang telah berlalu itu.. Apa yang tersurat dan tersirat?.

4 JAN 2010. Lokasi Sek Men Islam Hira'. Jeram Selangor. Bersama puteri-puteri soleh dan musleh dalam program HIJRAH dan Cabaran Meniti Usia Baligh.

7 JAN 2010 - UIA Nilai.
Ramainye.. macam nak tonton wayang terhebat..
Gambar ni baru separuh dewan.. melimpah pulak ke luar dewan..
Bersama lebih 600 orang pelajar semasa RAFEST ( Raudhah Festival). Saya dan anakanda, teman seperjuangan Hafiz Bai (Belia JIM) diberikan amanah untuk mengendalikan slot TRIBUTE TO ALAM BARZAKH. Anakanda kesayangan 'Ammar tetap sedia menemani umminya..jaga laptop, teman perjalanan.
Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah...

9 dan 10 JAN 2010.
Kursus Asas Pra Perkahwinan Nasional (KAPPeL) anjuran JIM. Lokasi Masjid KLCC. JOM Bina Mahligai Bahagia! Amanah ke atas saya: kena kendalikan bengkel peserta





Sempat juga menghadiri dua kenduri perkahwinan.

1)10 JAN 2010 'Chef Wan' dan pasangannya yang dicintai di Pengkalan Balak, Melaka

2) 16 Jan 2010, Dewan Masjid Bukit Aman, KL. Anak saudara Mohd Nasrul Idzhar dan pasangannya Massita. Selamat berbahagia selamanya..




Dan yang pasti..insyaAllah.. saban minggu setiap Rabu akan bertemu wanita-wanita hebat, geng2 usrah di Danau Kota, Setapak. Seusai usrah.. makan agenda 'wajib'..

Ballighu 'anni walau aayah..
"SAMPAIKAN WALAU PUN SEPOTONG AYAT"..
Itu pesan Rasulullah SAW.
Itu lah yang juga yang diucapkan oleh seorang Ustaz ( lupa namanya) ketika kami bertukar giliran untuk tugas menyampaikan sesuatu bersama wanita-wanita dari Persatuan warga Emas di Surau Al Amin Setapak Indah.

Semoga Allah terima amalan-amalan kita semua sebagai bekalan bertemuNYA..